Thursday, February 19, 2009

Simpanlah 10 peratus

Setiap orang ada hajat tersendiri apabila mendapat gaji, baik membeli baju baru atau gajet idaman. Anda bebas berbelanja tetapi simpanlah 10 peratus daripada gaji itu setiap bulan.

DENGAN simpanan yang mencukupi atau berlebihan, anda dapat merancang masa depan dengan lebih baik dan teratur.

SETIAP hari, setiap minggu dan setiap bulan, kita akan bangun tidur dan pergi bekerja. Tidak kira dalam apa jua industri yang kita lakukan. Yang pasti, kita melakukannya dengan penuh rasa tanggungjawab.

Bagaimanapun, saya pasti kadangkala ada juga terdetik di hati kita, "Untuk siapakah aku bekerja?" Siapakah yang akan mendapat semua atau sebahagian daripada gaji yang diterima pada akhir bulan? Adakah wang gaji itu diagihkan untuk membayar hutang, membayar bil dan lain-lain atau dapatkah kita menyimpan sebahagian daripadanya untuk diri sendiri?

Baiklah, saya pasti ada antara pembaca akan bertanya, apa maksudnya membayar diri kita sendiri? Sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus daripada wang gaji kita adalah hak kita. Hak ini merupakan sebiji benih yang akan ditanam, disiram, dibaja dan dijaga sehingga menjadi sebatang pokok yang akan berbuah. Buah-buahan inilah yang akan membantu kita, anak-anak dan cucu-cicit kita pada hari-hari mendatang.

Saya pasti, apabila kita pulang ke kampung pada hujung minggu semasa musim buah-buahan, emak atau ayah kita akan memerhatikan dengan rasa bangga kerana pokok buah-buahan yang ditanam mereka dapat memberikan nikmat kepada cucu mereka. Konsep yang sama ini juga patut kita amalkan dengan wang gaji yang kita terima pada setiap hujung bulan. Konsep inilah apabila digandingkan dengan masa yang mencukupi akan menjadi harta pusaka untuk generasi akan datang.

Mulakan dari umur yang muda

Ini adalah salah satu tabiat yang perlu kita tanamkan dalam diri kita apabila kita mula berdamping dengan wang. Wang saku yang diberi akan digandakan andai kata anak-anak dapat menyimpannya di dalam tabung.

Apabila tabung mereka sudah penuh, bawa anak-anak ke bank untuk mengemaskini buku simpanan. Untuk kita yang beragama Islam, institusi kewangan yang membuka akaun simpanan anak-anak ialah Lembaga Urusan Tabung Haji. Bukan sahaja dividen yang diberikan sungguh memuaskan, tetapi apa yang penting adalah pada hujung tahun, wang simpanan anak-anak anda akan dizakatkan. Menabung sambil membuat amal jariah, alangkah baiknya perjalanan hidup kita.

Oleh itu, untuk adik-adik yang baru mendapat gaji pertama ataupun yang gemar menyimpan, lakukan potongan gaji sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus daripada gaji bersih kita untuk dimasukkan secara automatik ke akaun simpanan Tabung Haji atau Amanah Saham atau di bank-bank tempatan atau di institusi-institusi kewangan tempatan. Pepatah Melayu ada mengatakan, sikit-sikit lama-lama menjadi bukit.

Tabiat menyimpan membolehkan kita melakukan apa sahaja kerana dengan simpanan yang mencukupi atau berlebihan inilah, kita dapat merancang masa depan kita dengan baik dan teratur.

Perbezaan antara seseorang yang menyimpan sekarang dan membelanjakan wang simpanan untuk masa depan dengan seseorang yang berbelanja sekarang dan terpaksa bekerja pada hari tua adalah sangat ketara.

Pilihannya terletak di tangan anda sendiri. Oleh itu, saya pasti dengan pilihan yang bijak, walau apa keadaan ekonomi yang akan kita hadapi, kita akan dapat mengharunginya dengan selesa.

Saya pasti, ramai juga antara pembaca yang mengatakan, "Ketika umur masih muda ini, saya ada keinginan atau impian yang saya mahu capai pada setiap bulan seperti membeli baju baru, membeli telefon bimbit terkini, membeli kasut sukan yang berjenama dan lain-lain lagi."

Boleh, belilah apa yang diidamkan. Tidak salah. Nasihat saya ialah ketepikan sahaja 10 peratus (paling minimum) untuk simpanan yang akan membawa ke arah kekayaan. Baki 90 peratus, gunakanlah sebaik-baiknya untuk membeli segala yang diidamkan. Tetapi, jangan lupa bahawa kita lakukan pembelian ini setelah kita membayar segala hutang-piutang.

No comments: