Friday, February 27, 2009

Kunci ke arah pengurusan wang

Bahagian kedua

Ketepikan wang simpanan dahulu apabila anda mendapat gaji.


MINGGU lalu kita telah mempelajari langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk memulakan bajet. Tiga langkah penting yang harus di laksanakan telah diberikan bagi mengetahui ke manakah perginya pendapatan kita setiap bulan. Langkah tersebut ialah membahagikan pendapatan kita kepada:

1.Perbelanjaan asas yang tetap.

2.Perbelanjaan asas yang berubah.

3.Perbelanjaan yang boleh dipertimbangkan.

Apa yang perlu dilakukan ialah mendapatkan jumlah keseluruhan bagi setiap perbelanjaan iaitu perbelanjaan asas yang tetap, perbelanjaan asas yang berubah dan perbelanjaan yang boleh dipertimbangkan, yang telah dicatit pada setiap bulan. Inilah jumlah perbelanjaan kita dalam setahun. Jangan lupa untuk menolak angka ini daripada jumlah pendapatan yang kita terima dalam tempoh setahun.

Kalau jawapan yang kita dapat adalah positif, ini bermakna kita bijak menggunakan pendapatan yang diperoleh dan kita merupakan seorang yang mempunyai disiplin yang kukuh dan seorang yang tidak suka pada pembaziran.

Sekiranya jawapan anda adalah negatif, itu bermakna anda mempunyai masalah dengan cara berbelanja. Cuba ambil iktibar tentang punca masalah yang berlaku sama ada ia datang daripada perbelanjaan asas yang berubah atau daripada perbelanjaan yang boleh dipertimbangkan.

Perubahan yang positif!

Perhatikan satu persatu tabiat perbelanjaan kita yang telah diagihkan pada tiga bahagian di atas. Inilah cara terbaik untuk kita memperbaiki status kewangan. Dengan cara itu, kita dapat mengetahui sama ada kita perlu meningkatkan pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan. Apabila kita mengurangkan perbelanjaan itu pada setiap bulan, ia sama seperti kita mendapat kenaikan gaji yang tinggi setiap bulan.

Kepentingan menyimpan


Inilah satu-satunya aspek yang penting apabila kita membuat bajet. Kita boleh mengehadkan jumlah wang yang akan dibelanjakan setiap bulan. Jika kita tidak memasukkan amaun wang simpanan dalam bajet bulanan kita, hasrat untuk memenuhkan peti besi yang akan dipenuhi dengan harta mungkin tidak akan tercapai.

Perbelanjaan asas tetap

Memandangkan perbelanjaan asas yang tetap adalah perkara-perkara yang penting dan tidak boleh kita ketepikan dalam bajet bulanan sekeluarga, maka tidak banyak perubahan yang boleh kita lakukan. Ini kerana amaun yang dibayar adalah sama sahaja pada setiap bulan. Kalau ada pun yang boleh kita kurangkan ialah mengurangkan penggunaan air, elektrik, telefon, minyak kereta atau motosikal dan lain-lain lagi.

Perbelanjaan asas yang berubah dan perbelanjaan yang boleh dipertimbangkan


Selalunya masalah kewangan yang dihadapi ialah apabila kita tidak dapat mengawal perbelanjaan asas yang berubah dan perbelanjaan yang boleh dipertimbangkan.

Apabila kita mengawal dengan baik, di bahagian inilah juga kadar simpanan yang tinggi boleh kita kecapi. Apa yang penting ialah kita perlu mempunyai disiplin yang kukuh kerana kalau kita tidak mengikut bajet yang telah dicatit dengan serius, kita akan melakukan pembaziran yang banyak.

Apabila pembaziran ini berlaku bulan demi bulan, ini akan menjadikan jumlah yang perlu disimpan berkurangan.

Amalan tepat yang perlu kita lakukan ialah apabila kita mendapat wang gaji pada akhir bulan, hendaklah kita ketepikan wang simpanan dahulu, kemudian barulah diagihkan untuk membayar semua perbelanjaan asas yang tetap.

Akhir sekali, barulah kita fikirkan dengan baik dan tegas sama ada apa yang ingin dibelanjakan dalam bahagian asas yang berubah dan perbelanjaan yang boleh dipertimbangkan adalah sesuatu yang boleh dielakkan.

Nasihat dan pesanan ibu saya yang selalu bermain di telinga saya ialah: "Kalaulah gaji kita sebulan RM3,000, janganlah sesekali berbelanja seperti gaji kita sebulan RM10,000."

Amalan berbelanja lebih daripada apa yang kita peroleh inilah yang selalu mendatangkan masalah sehingga kadangkala menyebabkan keruntuhan rumah tangga. Satu contoh yang ketara ialah apabila kita menggunakan kad kredit mengikut nafsu syaitan. Tanpa kita sedari, hutang akan meningkat dan simpanan akan berkurangan. Oleh itu, jadikan bajet satu amalan yang penting dalam perancangan kewangan kita sekeluarga.

No comments: