Thursday, February 19, 2009

Cara uruskan wang

BAHAGIAN PERTAMA

Setelah mengetahui jumlah keseluruhan pendapatan kita, barulah kita boleh merancang apa yang perlu dilakukan dengan wang tersebut.


NIKMAT dan kepuasan yang dikecapi seseorang adalah apabila dia dapat berbelanja dan menabung dengan sepuas-puasnya dan dapat melakukan kedua-duanya dengan baik dan sama rata!

Untuk membolehkan kita mendapat apa yang dicapai oleh individu itu, kita hendaklah mengamalkan beberapa perkara. Salah satu antaranya adalah memperbaiki atau menyempurnakan diri dengan amalan membuat bajet. Bajet ialah salah satu kunci ke arah pengurusan wang kita.

Mungkin perkataan bajet selalu dilemparkan dalam beberapa artikel yang lalu. Ini memang satu perkara yang sengaja saya ulangi. Ini kerana, bak kata pepatah Inggeris, "Repetition is the mother of skill." Ertinya, pengulangan adalah ibu kepada semua kemahiran.

Menjadi kaya bukan bererti seseorang itu mempunyai gaji yang lumayan, tetapi kita boleh menjadi kaya dengan bijak menggunakan wang yang kita ada. Cara paling baik untuk menggunakan gaji adalah membuat rancangan kewangan yang baik. Rancangan kewangan inilah yang dipanggil bajet. Saya tahu, ramai pembaca bertanya bagaimana hendak membuat bajet. Ia mungkin menakutkan tetapi merancang bajet adalah perkara paling mudah dalam proses merancang kewangan kita.

Jangan risau dan takut! Menulis bajet mudah sahaja. Sebab kita tidak perlu mempunyai ijazah istimewa. Apa yang susah adalah untuk melaksanakannya dan mengamalkannya bulan demi bulan. Bajet kita akan menjadi suatu perancangan yang sungguh penting sehinggakan kita tidak akan membeli atau membayar apa-apa selagi bajet kita tidak mengizinkan.

Apakah itu bajet?

Bajet ialah satu catatan yang terdiri daripada pendapatan tetap, yang kita peroleh setiap akhir bulan dan catatan perkara-perkara yang akan perlu dibayar atau perlu dibeli setiap bulan. Baki di antara kedua-dua catatan inilah merupakan wang yang mesti disimpan untuk menuju kekayaan.

Sebelum kita menyediakan bajet, ada beberapa maklumat asas yang perlu kita ketahui. Maklumat yang dimaksudkan itu ialah kaedah kita memperoleh pendapatan kita. Kadang-kadang selain daripada makan gaji, kita juga mempunyai perniagaan sebagai pendapatan sampingan. Maklumat yang perlu kita catat ialah cara kita berbelanja pada akhir bulan (mengikut tabiat masing-masing kerana ada yang bijak membeli dan ada pula yang boros).

Ketahui ke mana perginya wang gaji kita:

A. Gunakan 15 helai kertas (saiz A4, sebaik-baiknya yang bergarisan) dan di atas kertas pertama tuliskan: PENDAPATAN.

Jangan lupa mengira semua jenis pendapatan daripada gaji bersih, wang daripada kerja lebih masa, komisen daripada perniagaan, wang yang didapati daripada rumah sewa dan lain-lain. Satu perkara penting yang harus diambil kira ialah wang yang diterima hendaklah sama untuk semua 12 bulan. Ini kerana, kalaulah jumlahnya tidak selaras, kita akan mengambil kira wang yang tidak ada di dalam tangan. Perkara ini kalau tidak ditangani akan mendatangkan masalah dalam bajet dan perbelanjaan kita.

Mulai hari ini, setelah mengetahui jumlah keseluruhan pendapatan kita, barulah kita boleh merancang apa yang perlu dilakukan dengan wang tersebut.

B. Dengan menggunakan 12 helai kertas, setiap satu hendaklah kita tuliskan 12 bulan dalam setahun (kertas 1-Januari, kertas 2-Februari, kertas 3-Mac dan seterusnya).

Di atas setiap kertas itu, kita bahagikan kepada tiga bahagian.

1. Perbelanjaan asas yang tetap

Perbelanjaan atau pembayaran yang tidak berubah setiap bulan seperti sewa rumah, ansuran kereta, pembayaran balik pinjaman, yuran sekolah atau kolej atau universiti, premium insurans dan lain-lain.

2. Perbelanjaan asas yang berubah

Perbelanjaan atau pembayaran ini kadangkala susah untuk ditangani kerana ia seringkali meningkat dan kadangkala menurun. Perbelanjaan yang dicatat ialah bil telefon, bil elektrik, bil air, perbelanjaan runcit dan pasar, simpanan (bank, tabung haji, amanah saham), ubat-ubatan dan lain-lain.

3. Perbelanjaan yang boleh dipertimbangkan

Di sinilah bahagian yang boleh mengubah segala amaun simpanan kita kerana perbelanjaan yang boleh dipertimbangkan inilah satu-satunya memerlukan disiplin yang sungguh kukuh. Kenapa ya? Apa tidaknya, kalaulah kita berbelanja mengikut nafsu dan tidak mengikut kehendak yang penting, bahagian ini akan meningkat. Perbelanjaan seperti pakaian, kasut atau tas tangan yang berjenama. Hadiah-hadiah hari jadi atau ulang tahun perkahwinan, majalah yang diimport dari luar negara atau semua jenis perbelanjaan yang boleh dielakkan daripada pembaziran.

Setelah mencatat semua yang dikehendaki di atas, kita campurkan ketiga-tiga untuk mendapatkan jumlah besar pada akhir tahun. Daripada sini, kita dapat mempelajari sama ada kita seorang yang cermat berbelanja atau boros. Walau apa pun jawapan yang kita dapat, jangan risau kerana kita juga boleh memperbaiki kelebihan atau menangani masalah yang kita hadapi.

No comments: