Sunday, February 21, 2010

Bayar zakat di pejabat pos

Dari Kosmo Online.


MOHD. RAIS (empat dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Wan Mohd. Zain Wan Mamat (empat dari kiri) pada majlis anugerah kecemerlangan kaunter-kaunter pos 2009 sebagai satu ejen pungutan zakat.


PUSAT Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) bercadang melantik kaunter angkat terbarunya di pejabat Pos Malaysia Bhd. cawangan Suria KLCC yang dilihat mempunyai potensi besar meningkatkan kutipan zakat.

Ia berikutan cawangan tersebut berjaya menerima bayaran zakat paling tinggi dan kaunter paling ramai menerima pembayaran zakat di sini tahun lalu.

Pengurus Besar PPZ-MAIWP, Mohd. Rais Alias, memberitahu sehingga kini terdapat 48 pejabat pos yang boleh menerima bayaran zakat bagi pihak PPZ di sekitar Lembah Klang.

Katanya, pemilihan pejabat Pos cawangan Suria KLCC disebabkan kawasan tersebut menjadi tumpuan ramai terutama para pekerja di Menara Berkembar Petronas dan kawasan sekitarnya.

"Perkhidmatan kaunter angkat berbeza daripada kaunter lain kerana masa operasi dilanjutkan sehingga pukul 10 malam dan setiap pengunjung yang menggunakan perkhidmatan itu diberi cenderamata daripada PPZ-MAIWP.

"Bermula tahun lalu kita (PPZ-MAIWP) mewujudkan kaunter angkat di pejabat Pos cawangan Gombak kerana penduduk kawasan itu rata-rata beragama Islam," katanya pada pemberita selepas majlis Anugerah Kecemerlangan Kaunter Pos 2009 di Wisma PPZ baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, kaunter pos cawangan Suria KLCC dan kaunter Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur memenangi anugerah kecemerlangan daripada PPZ-MAIWP kerana pungutan zakat yang diterima daripada kedua-dua kaunter itu amat baik.

Hadiah saguhati diberikan kepada Pejabat Pos cawangan Jalan Gurney, Medan Tuanku dan Sungai Besi yang menunjukkan peningkatan kutipan serta pembayar zakat.

Tambah Mohd. Rais, antara objektif PPZ-MAIWP menganjurkan anugerah itu sebagai tanda penghargaan, perangsang dan mewujudkan kerjasama erat dengan Pos Malaysia dalam meningkatkan jumlah kutipan dan bilangan pembayar zakat.

"Diharapkan anugerah seperti ini dapat menjadi perangsang semua kaunter pejabat pos untuk memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang dalam urusan penerimaan zakat," katanya.

No comments: