Showing posts with label rezeki. Show all posts
Showing posts with label rezeki. Show all posts

Tuesday, June 01, 2010

Kunci Kemurahan Rezeki

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”
Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian:
Pengajaran Hadis:
i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)
ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.
iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.
iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, March 03, 2010

Rahsia Rezeki

Rezeki urusan ALLAH – Mewah atau Sempit

Al-Baqarah [245] …… Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Isra [30] Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi siapa yang Ia kehendaki, dan menyempitkannya. Sesungguhnya Ia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya, lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.

Al-Ankabut [62] Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan (rezeki itu) baginya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tetap tiap-tiap sesuatu.

Rum [37] Dan mengapa mereka tidak melihat bahawa Allah meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Ia juga yang menyempitkannya Sesungguhnya hal yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang membuktikan kekuasaan Allah bagi orang yang beriman.

Saba’ [36] Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

Az-Zumar [52] (Mengapa mereka mendakwa demikian), tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Dia juga yang menyempitkannya? Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan yang jelas bagi orang-orang yang percayakan (ilmu dan kebijaksanaan Allah).

As-Syura (As-Shura) [12] Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

ALLAH bagi rezeki ikut kadar yang dia kehendaki

As-Syura (As-Shura) [27] Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.

Bertaqwalah untuk mendapat rezeki

At-Talaq [2] ……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

At-Talaq [3] Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

Al-A'raf [96] Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

AL-Maidah {66] Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan rezeki (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi)....

Tunai solat, rezeki jadi berkat


Rezeki Kamariah Saad semakin bertambah sejak mengusahakan kedai makan yang diusahakan di Rawang, Selangor.


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud tidak akan merubah nasib sesuatu kaum itu, sehinggalah mereka sendiri bangun dan merubah apa yang ada pada diri mereka (ar-Ra'd: 11) benar-benar menjadi prinsip kepada Kamariah Saad, 48.

Beliau adalah model ibu tunggal yang tidak pernah menyerahkan dirinya kepada takdir. Bahkan dirinya diasuh sedari awal, bahawa untuk hidup maka usaha harus diiring doa dan tawakal.

Janji Allah itu maha benar, usaha yang gigih, pasti kejayaan yang ditagih, kelak juga diimbuh dengan kurniaan rezeki yang kadang kala tidak tertahan-tahan lagi datangnya, silih ganti bertimpa-tindih.

Berasal dari Pendang, Kedah, Kamariah sudi berkongsi kisah buat iktibar mereka yang susah. Maka Jejak Asnaf kali ini cuba menerobos ruang kehidupan silam yang pastinya berbalam dan semahu mungkin cuba untuk dilupakan.

"Saya kematian suami pada tahun 2002 dan pada ketika itu, saya sarat mengandung anak yang kelima," jelasnya.

Suami Kamariah meninggal dunia akibat serangan jantung, tanpa harta buat bergantung melainkan anak-anak yang harus dikendong.

"Sebenarnya, saya memang susah dari awal lagi. Perit sekali ustaz jika diingat-ingat. Dua puluh hari selepas arwah suami pergi, saya melahirkan anak kelima. Kala itu, saya di kampung menumpang rumah ibu.

"Mengenangkan diri yang serba amat kekurangan, tiada belanja kerana tidak punya wang dan pelbagai lagi masalah lain yang terus bertandang, emosi saya benar-benar terganggu.

"Anak-anak perlu diurus sedang bank sudah berkeras mahu menarik kereta. Sungguh, jika tiadalah bantuan daripada Allah, boleh jadi saya sudah gila agaknya," katanya sambil menyeka genangan air di tubir mata.

Enam bulan menumpang kasih dan simpati keluarga di kampung, Kamariah kembali ke Selangor. Anak-anaknya juga tidak betah di Kedah. Semasa itu, beliau hanya mengharap ehsan adiknya di Kampung Bendahara, Batu Caves.

Namun, usahanya terbatas lantaran arahan perubatan bahawa bekas pembedahan semasa bersalin menghalang dirinya bergerak cergas.

"Alhamdulillah, dalam keterbatasan itulah dengan bantuan seorang teman, saya diizinkan Allah SWT membeli sebuah rumah di Taman Pelangi, Rawang.

"Terima kasih juga, kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut membantu membayarkan wang pendahuluannya," tambah beliau.

Menurut Kamariah, tanpa duga rezekinya tertulis di Rawang. Beliau mencuba nasib membuka meja menjual nasi lemak pada sebelah pagi. Nasi lemaknya laris, anggaran pendapatan bersihnya sebulan kira-kira RM1,000.

Dapatlah beliau memenuhi keperluan lima anaknya, yang kesemuanya masih perlu biaya besar khususnya demi mendapatkan pendidikan terbaik.

Kamariah mempunyai lima anak. Yang sulung, Mohd. Riduan, 19, kini belajar dalam bidang Kejuruteraan Elektrik di Politeknik Shah Alam. Kedua, Anissafinas, 17, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Garing; ketiga Siti Nurazah, 14, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Ali dan menetap di Asrama Anak-anak Yatim Darul Kifayah, Kuala Lumpur. Anak keempat dan kelima, Nur Asyikin, 12, dan Nur Atirah, 8, masih belajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Rawang, Selangor.

Bercerita lanjut, menurut Kamariah, pada tahun 2008, namanya disenaraikan untuk menerima bantuan kewangan.

Ketika itu, majlis dirasmikan oleh isteri Menteri Besar Selangor. Semasa berucap, beliau ada berkata bahawa salah satu amalan yang membuka pintu rezeki ialah solat dhuha.

"Apabila pulang, pesanan itu terngiang-ngiang di gegendang telinga saya. Saya jadi yakin dan semenjak dari hari itu sehinggalah kini, saya tidak pernah meninggalkan solat dhuha. Seboleh mungkin, saya akan menunaikannya.

"Alhamdulillah, benarlah ustaz bahawa solat dhuha memang membuka pintu rezeki. Ia terbukti apabila saya dapati, rezeki kami anak-beranak semakin melimpah-ruah," katanya.

Kamariah berkata, pernah pada bulan Ramadan tahun lalu, tidak semena-mena wakil sebuah bank datang ke rumah dan menyampaikan sumbangan RM500 untuk anak-anak.

"Saya juga memberanikan diri mengembangkan perniagaan. Kira-kira enam bulan sudah, saya membuka gerai makanan. Pada permulaannya memang agak perlahan sambutannya.

"Namun sekarang alhamdulillah, boleh dikatakan setiap hari habis lauk-pauk yang saya masak. Orang sudah ramai tahu dan mereka suka datang ke gerai saya," katanya gembira.

Kamariah kini menyewa gerai Majlis Perbandaran Selayang dengan sewa RM200 sebulan. Perniagaan makanannya semakin mendapat sambutan dan pendapatan bersihnya kian stabil apabila mampu melebihi RM2,000 sebulan.

Menceritakan pengalamannya berniaga, Kamariah juga pernah ditipu oleh kawan sendiri.

Hangus modal dan untungnya hampir RM10,000 apabila orang tengah yang menerima bayaran pembekalan makanan ke sebuah kilang menghilangkan diri.

"Namun saya yakin ustaz, Allah SWT melindungi saya kerana saya tidak pernah tinggal solat sejak dari akil baligh. Bahkan, saya selalu mengamalkan surah-surah yang dianjurkan, misalnya al-Mulk dan al-Waqi'ah. Ditambah dengan amalan solat dhuha, maka saya dapat rasakan kesannya.

"Pernah saya mengabaikan amalan berkenaan, maka keesokan harinya saya dapat perhatikan gerai saya akan kekurangan pengunjung. Lalu saya amalkan kembali, solat dhuha dan membaca al-Quran.

"Alhamdulillah keesokannya rezeki saya kembali kencang. Ia menambahkan keyakinan saya, bahawa jika kita menjaga amalan, menjaga hubungan dengan Allah, tidak mengabaikan solat, maka rezeki pun jadi berkat," jelasnya.

Kamariah mula menerima bantuan daripada LZS (MAIS) pada tahun 2003. Beliau diberi bantuan menyambut Ramadan dan Hari Raya juga bantuan pendidikan untuk anak-anak.

Setelah berpindah ke Rawang, di samping membantu melunasi pendahuluan rumahnya, LZS (MAIS) turut memberikan beliau bantuan kewangan bulanan dan modal perniagaan.

"Saya amat berterima kasih kepada LZS. Jujur saya nyatakan, tidak pernah walaupun sekali saya meminta bantuan kepada orang lain, khususnya mereka yang dekat dengan saya. Semuanya bekat adanya LZS, maka LZS-lah tempat saya mengadu, tempat saya mendapatkan bantuan khususnya kewangan," katanya.

Kini, Kamariah sekeluarga sudah boleh menarik nafas lega. Rezekinya makin melimpah dan anak-anaknya tidak lagi pernah merasa susah.

Kepada semua pembayar zakat, beliau mengalungkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga, justeru zakat itulah yang menyangga beliau sehingga berjaya.

Kepada para ibu tunggal pula, pesanannya mudah sahaja, iaitu jagalah hubungan dengan Allah. Hubungan yang baik dengan Allah, rezeki pun menjadi mudah.

"Insya-Allah, saya akan mengeluarkan zakat pendapatan saya tidak lama lagi. Iyalah, rezeki pun sudah banyak, maka sudah tibalah saatnya saya pula menunaikan amalan wajib, sebagai tanda syukur saya kepada Allah," ujar beliau.

Untuk tempahan makanan, Kamariah Saad boleh dihubungi di Selera Utara, No. 20, Gerai MPS, Rawang Intergrated, 48000 Rawang, Selangor atau menghubungi beliau di talian 016-365 3806.

lHAMIZUL ABDUL HAMID ialah Pegawai Dakwah Pena, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)